Cawan putih ku capai lalu ku tadah air zam-zam dari bekas air yang disediakan dalam masjidil Haram. Alhamdulillah, inilah kali pertama seumur hidupku menjejakkan kaki ke Haramain, bumi kelahiran Rasul kesayangan ku Muhammad SAW.
Tatkala cawan berisi air zam-zam menyentuh bibirku, teringat daku bahawa air yang sama pernah digunakan oleh malaikat bagi membersih hati Rasulullah selepas membelah dada baginda. Pembersihan hati yang dilakukan atas arahan Allah yang Maha Esa. Lalu bermain-main di benak fikiran ku beberapa kisah yang menggambarkan kesucian sekeping hati.
Bermula dengan kisah Rasulullah dan seorang perempuan tua yahudi. Setiap hari perempuan tua ini akan menaburkan duri-duri dan najis di jalanan Rasulullah menuju ke masjid. Ada kalanya kaki Rasulullah berdarah terkena duri-duri yang ditaburkan oleh perempuan yahudi tadi.
Suatu hari apabila Rasulullah seperti biasa melangkah ke masjid, diperhatikan tiada duri-duri dan najis di jalanan. Perkara yang sama berulang untuk beberapa hari sehinggalah Rasulullah mendapat berita bahawa perempuan tua itu telah jatuh sakit. Maka Rasulullah tanpa pernah ada rasa dendam menziarahi perempuan itu dirumahnya. Melihat keadaan perempuan itu yang sakit, tiada berdaya, Rasulullah sendiri membantu dengan membersihkan perempuan itu, bahkan Rasulullah menyuapkan makanan ke mulut perempuan yahudi itu. Dengan akhlak Rasulullah yang indah, akhirnya perempuan yahudi itu memeluk Islam.
Dari Abdullah bin Umar r.a meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:-
“Tiada satu tegukan yang ditelan oleh seorang hamba yang disukai oleh Allah daripada satu tegukan marah. Dia menelan kemarahan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah.”
(Hadis Riwayat Ahmad)
(Hadis Riwayat Ahmad)
Ketika di haramain saat seorang ustaz menyebut bukit Taif, bermain di fikiranku satu kisah antara Rasulullah dan penduduk Taif. Rasulullah pernah dalam waktu kerasulannya pergi ke Bandar Taif bagi menyampaikan seruan mentauhidkan Allah, namun apa yang diterima oleh Nabi saw adalah hujanan bebatu oleh kanak-kanak di Bandar tersebut. Keluarlah Rasulullah dari Bandar Taif dengan badannya yang mulia itu berlumuran dengan darah. Sehinggakan malaikat jibril bertanya kepada baginda ” Ya Rasulullah, Mahukah engkau aku hempapkan gunung ke atas penduduk Taif ini?”
Namun siapa yang menjangkakan jawapan dari insan maksum memiliki sekeping hati yang pernah dibasuh dengan air zam-zam ini. “Tidak” . Sekalipun tubuh baginda di rejam batu oleh penduduk Taif, namun tidak sekali dendam yang baginda simpan, Mulianya hatimu Ya Rasulullah.
“Ketahuilah, bahawa di dalam badan itu ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah seluruh badan, dan apabila ia rosak, rosaklah semuanya, ketahuilah, itulah dia hati.”
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Antara kisah-kisah lain yang bermain di pemikiranku sepanjang kehadiranku di haramain ini ialah tokoh yang membebaskan bumi Palestin dari cengkaman kuasa Kristian selepas hampir seratus tahun ditakluk.
Salahuddin Al-Ayubi juga menunjukkan hati yang suci ketika mana dia memasuki kota Palestin, Salahuddin Al-Ayubi tidak menyembelih walau seorangpun kristian dan tenteranya walaupun ketika Kristian menakluk tanah kelahiran para nabi itu, ramai pula orang Islam disembelih.
Seterusnya ketika mana berperang dengan tentera salib yang diketuai oleh Richard The Lion Heart dari England, beliau sekali lagi menunjukkan sifat terpujinya yang menghormati musuhnya. Beliau menghantar ahli perubatannya bagi merawat King Richard sekalipun itu adalah musuhnya yang datang dari England demi mengancam nyawanya dan menakluk kembali bumi Palestin dari kuasa Islam.
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda rasulullah SAW bersabda:-
“Seorang yang kuat itu bukanlah orang yang dapat membalas(pukulan lawannya) tetapi seorang yang kuat itu ialah dia yang dapat mengawal diri dan perasaannya dengan baik ketika marah.”
(Hadis Riwayat Bukhari)
(Hadis Riwayat Bukhari)
Kisah-Kisah ini telah mengajarku satu sifat yang sukar dipraktikkan tetapi sangat indah untuk diamalkan, bilamana kali pertama aku menjejakkan kaki ku dia masjid Nabawi, usai menyelesaikan solat maghrib dan isyak di dalam masjid Nabi, selipar yang aku tinggalkan di rak kasut telah hilang disambar orang. Namun kisah-kisah di atas mengajarku bahwa meniatkan selipar yang dicuri itu sebagai satu sedekah buat si pencuri itu jauh lebih mulia dari menyimpan rasa dendam dan marah yang tidak menguntungkan mana-mana pihak.
Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa baginda rasulullah SAW bersabda:-
“Barangsiapa memaafkan kesalahan saudaranya yang Islam, Alllah akan mengampuni dosa-dosanya pada hari Kiamat”
(Hadis Riwayat Ibn Hibban)
(Hadis Riwayat Ibn Hibban)
Benarlah, betapa kisah-kisah kenabian dan kebangkitan Islam merupakan tarbiyah untuk hati. Apabila dihayati penuh erti, direnungi dan dikaji, ianya dapat membawa hati kita lebih cenderung kepada kebaikan dan pengislahan diri.
“Sesungguhnya (keterangan-keterangan dan peristiwa-peristiwa) yang tersebut itu, tidak syak lagi mengandungi pengajaran bagi sesiapa yang mempunyai hati atau yang menggunakan pendengarannya lagi pula ia menjadi saksi.”
(Surah Qaaf ayat 37)
(Surah Qaaf ayat 37)
Hati yang suci itu memang sukar di didik, namun kisah-kisah yang telah di paparkan oleh Nabi dan tokoh-tokoh Islam membuktikan bahawa ianya bukanlah mustahil untuk dilakukan.
Hati juga boleh dilenturkan menjadi lembut dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Qur’an, kisah Umar Al-Khattab RA yang mendengar bacaan surah Taha telah membuktikan hati yang keras itu bisa dilembutkan bahkan mengubahnya menjadi hati yang mampu menangis kerana Allah tika di malam hari.
Semoga kita semua dikurniakan hati-hati yang mulia lagi suci seperti oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Mudah-mudahan hati itu juga sentiasa Istiqamah dalam kebaikan dan ketaatan. Impikanlah hati sesuci hati Rasulullah.
“Jadilah insan yang mampu menghulurkan madu sekalipun racun yang kau telan.”
Wallahu a’lam
Biodata Penulis
Luqman Bin Dato’ Ahmad Zamani berasal dari Kuala Terengganu. Beliau merupakan bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam jurusan Ukur Bahan. Kini, beliau sedang melanjutkan pelajaran di peringkat master dalam bidang Ukur Bahan Mekanikal Dan Elektrikal di University of Salford Manchester, United Kingdom.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan